LIMBANG: Tiga projek rangkaian jalan raya utama yang menghubungkan Limbang, Miri, Sabah dan Brunei kini sedang rancak dibina.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek itu melibatkan pembinaan Jalan Penghubung Sarawak Sarawak (SSLR), Lebuh Raya Trans Borneo dan Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu, projek ini dibina tahun ini sehingga 2030 yang menyaksikan Bahagian Limbang akan mempunyai kemudahan rangkaian jalan perhubungan lengkap menjelang lima tahun akan datang.
“Ia merupakan projek yang mengubah wajah di utara Sarawak, khususnya dan di Sarawak amnya. Pada 1 November depan, Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) akan dirasmikan Premier Sarawak, jadi kita di Limbang ada tiga jalan utama, satu Rangkaian Jalan Perhubungan Sarawak-Sabah(SSLR) keduanya NCH dan ketiga, lebuhraya trans Borneo iaitu daripada Tedungan sampai ke Limbang,” katanya pada Penangguhan Pesta Nuba Laya 2025 di Gelanggang Serbaguna Majlis Daerah Limbang (MDL) Batu Biah di sini, semalam.
Tegas beliau, pembinaan tiga jaringan jalan raya utama SSLR, Trans Borneo dan NCH itu akan menjadi ejen perubahan efektif untuk Limbang.
