KUCHING: Kesedaran masyarakat terhadap disleksia semakin meningkat apabila kanak-kanak yang menghadapinya kini berdepan cabaran pembelajaran, yang kini bukan lagi dianggap bermasalah disiplin.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tanda seperti kesukaran membaca, mengeja, kekeliruan huruf serta tumpuan singkat sering disalah tafsir sebagai salah laku, sedangkan mereka memerlukan intervensi khusus.
“Penganjuran program ini turut meningkatkan kefahaman awam terhadap cabaran yang dihadapi kanak-kanak disleksia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dyslexia Charity Food and Fun Fair 2025 di Pusat Ibadah Ekumenikal Kristian (CEWC), Jalan Stampin, di sini, hari ini.
Tambah Fatimah, dana yang dikumpulkan akan menampung pembangunan bangunan baharu Persatuan Disleksia Sarawak termasuk penyediaan asrama untuk murid dari luar Kuching.
