Isu tanah dikenal pasti punca projek jalan raya berkembar Jambatan Kemena -Lapangan Terbang Bintulu lewat

BINTULU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mendedahkan isu tanah menjadi punca kelewatan projek jalan raya berkembar dari Jambatan Kemena ke Lapangan Terbang Bintulu.

Beliau menegaskan masalah itu perlu diselesaikan segera bagi memastikan projek berjalan mengikut jadual.

“Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sedang mempercepatkan urusan berkaitan pemilikan tanah. Kelewatan bukan berpunca daripada kekurangan jentera atau tenaga kerja, sebaliknya semata-mata kerana isu tanah yang belum dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak projek berkenaan bersama-sama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JTS di sini, hari ini.

Setakat ini, kemajuan projek hanya mencatatkan kurang daripada satu peratus. Namun, Uggah yakin kerja pembinaan akan dipercepatkan selepas isu tanah selesai, dengan kontraktor berpengalaman dan JKR memantau pelaksanaan.

Projek sepanjang 4.1 kilometer (km) itu dijangka siap pada Mei 2027. Namun, beliau percaya ia mampu diselesaikan lebih awal sekiranya semua halangan dapat diatasi segera, katanya.

Terdahulu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan mendengar taklimat projek daripada Pengarah JKR Sarawak, Dr Cassidy Morris.