Kejadian luar negara harus dijadi iktibar

BINTULU: Masyarakat diingat agar tidak membiarkan perbezaan kecil kerana ia menjadi punca perpecahan yang akhirnya melemahkan suara politik komuniti Vaie.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kepimpinannya hanya kesinambungan legasi pemimpin terdahulu yang banyak berkorban.

Menurutnya, pengalaman dari negara luar seharusnya dijadikan pengajaran kerana perpecahan menyebabkan kuasa politik sesuatu kaum tergadai.

“Kalau kita berpecah, yang rugi adalah kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Nostalgia Retro Kampung Baru 2025 anjuran Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Baru dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jepak, yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Baru, malam tadi.

Dalam pada itu, Iskandar turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan pasukan Armanda 67 x Tedung Selar dari Kampung Baru yang cemerlang dalam Regatta Tatau sempena Pesta Tatau 2025, baru-baru ini.