Sarawak contoh keharmonian, toleransi seluruh dunia – TYT

KUCHING: Kerjasama strategik dan berterusan antara kerajaan dengan pihak swasta amat penting bagi memastikan Sarawak terus maju dan makmur dalam Malaysia.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jafaar berkata, usaha bersama ini akan menjadi penentu kepada keberkesanan pembangunan yang dapat dicapai dalam tempoh lebih singkat.

Sarawak, katanya, terkenal dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang hidup bersama secara harmoni, sekali gus menjadi aset berharga kepada negeri ini.

“Perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak, Tahun Baharu Cina dan Krismas yang disambut bersama dengan mengekalkan tradisi rumah terbuka telah terbukti mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya menerusi Perutusan Sambutan Hari Malaysia 2025.

Tun Dr Wan berkata, budaya serta adat resam masyarakat Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan pelbagai suku kaum lain yang terus dihormati menjadikan Sarawak sebagai contoh keharmonian dan toleransi kepada seluruh dunia.

“Sehubungan itu, rakyat diseru agar mempertahankan dan meneruskan legasi tersebut dengan menanam semangat patriotisma, menghargai perbezaan serta memupuk rasa hormat antara satu sama lain.

“Marilah kita terus berganding bahu, bekerja keras dan menyumbang ke arah pembangunan negeri serta negara. Pastikan Sarawak kekal maju, makmur dan menjadi contoh terbaik kepada negeri-negeri lain.

“Negeri yang maju akan menentukan rakyat yang sejahtera. Bersama-sama kita bina masa depan lebih cerah untuk generasi akan datang,” kata beliau.