STU dapat peruntukan khas sempena ulang tahun ke-60

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh dasar pendidikan inklusif, pragmatik dan sejajar dengan keperluan global demi melahirkan modal insan berkualiti.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyesuaikan pendekatan pendidikan mengikut keperluan tanpa menjejaskan dasar kebangsaan.

“Kita mahu melahirkan anak Sarawak sebagai warga global. Pendidikan perlu inklusif, relevan dengan perubahan zaman, dan berteraskan kualiti.

“Sebab itu, dasar pendidikan Sarawak memberi penekanan kepada dwibahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, selain mengiktiraf bahasa lain termasuk Mandarin dan bahasa etnik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Jubli Intan Sarawak Teachers’ Union (STU) di Imperial Hotel Kuching, malam tadi.

Tegasnya, penguasaan pelbagai bahasa, termasuk Mandarin sangat penting dalam memberi nilai tambah kepada anak Sarawak untuk berdepan cabaran ekonomi global.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM400 juta setahun untuk membiayai pendidikan tinggi percuma, dengan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM1.2 bilion apabila pelaksanaan penuh dalam tempoh tiga tahun.

Beliau turut menyentuh usaha kerajaan negeri membaik pulih sekolah daif dan kuarters guru di luar bandar melalui dana pendahuluan negeri, demi memastikan kebajikan warga pendidik dan pelajar terjamin.

Sebagai hadiah sambutan ulang tahun ke-60 STU, Abang Johari mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM60,000 kepada kesatuan tersebut sebagai penghargaan terhadap sumbangan warga pendidik dalam pembangunan negeri.