Sarawak hantar pasukan ke Australia kaji pengurusan buaya

GEDONG: Kerajaan Sarawak meneliti kaedah terbaik bagi menguruskan populasi buaya yang semakin meningkat di negeri ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, ini termasuk kemungkinan mewujudkan kawasan perlindungan khas di bawah kawalan pakar.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menghantar pasukan ke Australia untuk mengkaji kaedah pengurusan serta penangkapan buaya yang diamalkan di negara tersebut.

“Di Australia, walaupun tidak banyak buaya, mereka ada tempat perlindungan iaitu buaya dikumpul dan diuruskan oleh pakar-pakar buaya.

“Kajian menunjukkan ada buaya agresif dan ada yang tidak. Malah, ada kawasan ternakan kerbau di Darwin yang wujud bersama buaya tanpa gangguan.

“Ini menunjukkan reptilia tersebut mempunyai naluri tersendiri, justeru kita perlu memahami perkara ini melalui kajian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sekepas menziarahi kediaman keluarga mangsa serangan buaya di Kampung Lubok Punggor, di sini, semalam.

Menurutnya, fenomena peningkatan populasi buaya di Sarawak berpunca daripada perubahan cara hidup masyarakat yang kini kurang menggunakan sungai sebagai laluan utama berbanding sebelum ini.

“Dulu sungai selalu digunakan, ada pergerakan air. Sekarang dengan adanya jalan raya, sungai tenang dan buaya membiak dengan cepat kerana telur yang ditetaskan banyak dalam keadaan habitat tidak terganggu,” jelasnya.

Abang Johari turut menegaskan bahawa operasi penangkapan buaya secara berkala telah dilaksanakan kerajaan, namun terdapat cabaran di beberapa kawasan disebabkan faktor adat dan kepercayaan masyarakat setempat.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) sedang meneliti hasil kajian berkenaan sebelum memutuskan langkah seterusnya termasuk penubuhan tempat perlindungan yang sesuai bagi mengawal populasi buaya.

Dalam lawatan tersebut, Premier menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan mendengar pengalaman ahli keluarga yang cuba menyelamatkan mangsa ketika kejadian.

Mangsa serangan buaya, Ahmad Alzadkhri Sudin, 32, dikatakan keluar menjala udang bersama ahli keluarga pada pagi 15 September lalu sebelum dipercayai dibaham buaya sekitar jam 4 petang, kira-kira 200 meter dari Kampung Lubok Punggor.

Mangsa merupakan anak keempat daripada lima beradik kepada pasangan Sudin dan Munah Lasit.

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) masih diteruskan sehingga kini.