Projek naik taraf SK Abang Aing dijadual siap Jun 2027

SIMANGGANG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing bagi meninjau perkembangan projek naik taraf sekolah tersebut yang dikategorikan sebagai sekolah daif.

Dalam lawatan kira-kira 30 minit itu, Abang Johari turut mendengar taklimat berhubung status projek daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris, di Dewan Juma’ani, SK Abang Aing.

Projek berkenaan merangkumi pembinaan semula Blok A, B dan C yang uzur, pembinaan blok tandas baharu untuk kegunaan murid dan guru serta sebuah pencawang Sesco baharu bagi menyokong keperluan tenaga sekolah.

Kerja-kerja pembinaan dimulakan 12 Ogos 2024 dan dijadual siap pada 11 Jun 2027.

Apabila siap kelak, projek ini diyakini mampu menyediakan suasana pembelajaran lebih selesa, moden dan kondusif, sekali gus meningkatkan motivasi murid-murid SK Abang Aing untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata sebagai wakil rakyat di kawasan itu, perhatian yang diberikan oleh Premier Sarawak terhadap sekolah luar bandar membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara menyeluruh.

“Inisiatif menaik taraf SK Abang Aing ini bukti jelas tiada anak Sarawak yang akan tercicir daripada pendidikan berkualiti, sama ada di bandar mahupun luar bandar,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh; ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel.