Sesi perkongsian Sistem Pentadbiran dan Pengurusan Komuniti (COMAS) Bahagian Mukah diadakan di Bangunan Baitulmakmur, di sini, baru-baru ini.
Perkongsian itu bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Ia untuk menerangkan COMAS Bahagian Mukah sebagai usaha berterusan memperkukuhkan institusi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diketuai Residen Bahagian Mukah.
Ia disertai ahli Kumpulan Tapow iaitu Kumpulan Inovatif dan Kreatif Pentadbiran Bahagian Mukah.
COMAS dibangunkan Kumpulan Tapow merangkumi sistem pelaporan yang berperanan mengubah landskap pengurusan KMKK dan JKKK daripada kaedah konvensional kepada platform digital yang lebih efisien, mudah, dan pantas.
Sistem ini merupakan pangkalan data bersepadu yang mengumpul, menyimpan dan menganalisis maklumat, dengan tujuan utama menyokong proses perancangan strategik serta pentadbiran lebih teratur di peringkat kampung, daerah dan Bahagian Mukah.
Kumpulan Tapow sebelum ini telah berjaya meraih Silver Award dalam Malaysia Technology Expo 2025 (MTE 2025) di World Trade Centre, Kuala Lumpur pada 20 hingga 22 Februari 2025 dan Gold Award Borneo International Technology Expo 2025 (Borneo INTEX25) di Raia Hotel, Kuching pada 27 hingga 28 Ogos 2025.
