SIMANGGANG: Sarawak akan merasmikan ciptaan cip baharu yang dihasilkan anak jati negeri ini di United Kingdom (UK).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cip tersebut berasaskan wafer bukan daripada silikon dan bahan mentahnya datang daripada ‘rare earth berasaskan ‘gallium compound’.
Katanya, cip terbabit digunakan dalam industri automotif serta yang pertama seumpamanya di dunia.
“Saya akan merasmikan hasil rekaan anak Sarawak itu di UK,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Benak Batang Lupar 2025 di Tebingan Sungai Sri Aman di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, walaupun Sarawak memiliki sumber ‘rare earth’ namun teknologi pengeluarannya masih belum dikuasai.
Justeru, menurutnya kerajaan akan menghantar pelajar hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) untuk menguasai teknologi ini bagi memahami proses pengeluaran bahan tersebut daripada sumber sendiri.
