Pengukuran tanah NCR jamin hak rakyat

KAPIT: Kerajaan akan meneruskan Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu selagi diperlukan bagi menjamin hak rakyat terhadap tanah tersebut.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kerajaan komited memastikan setiap penuntut tanah NCR yang sahih mengikut perundangan akan mendapat hak mereka tanpa dikenakan sebarang caj.

“Penyukatan tanah NCR ini tidak mengenakan apa-apa bayaran, semuanya adalah percuma.

“Kerajaan juga akan mengeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri, yang mana ia tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan premium, dan tempoh pegangan adalah kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik tanah NCR Seksyen 18 KTN di Balai Raya Song, hari ini.

Beliau mewakili Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Pada majlis tersebut, sebanyak 40 warta rizab komunal bumiputera diserahkan kepada rumah panjang di tiga kawasan iaitu Beguang, Katibas Hilir dan Embuau/Lajan, dengan keluasan tanah 22,638 hektar di daerah Song.

Selain itu, sebanyak 175 surat hak milik tanah NCR Seksyen 18 KTN diserahkan kepada 126 penerima.

Pemilik tanah ini dari kawasan Sipan/Sesawa/Teluk Jambu, Song dan kawasan Sungai Katibas – Nanga Mukeh/Nanga Entuat/Nanga Banin/Nanga Makut, Katibas Tengah.

Len turut menasihatkan pemilik tanah agar tidak menjual tanah mereka untuk keuntungan singkat, sebaliknya memanfaatkannya bagi meningkatkan pendapatan keluarga serta menjamin masa depan masyarakat.

“Gunakan tanah ini sebaik-baiknya. Lebih baik kita usahakan atau bangunkan tanah kita agar dapat menjana pendapatan isi rumah dan mewujudkan masa depan yang lebih baik,” ujarnya.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan untuk membangunkan tanah NCR telah diperkenalkan menerusi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD).