Regata sirkit pendekatan baharu penganjuran regata

SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak bercadang mewujudkan regata sirkit bagi acara lumba perahu di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana penganjuran regata kini bukan hanya tertumpu di bandar besar, malah diperluaskan ke daerah-daerah lain seterusnya yang terakhir penganjurannya di Regata Sarawak.

“Setiap kali kita menerima permohonan untuk menganjurkan regata, kita tahu kosnya tinggi. Sebab itu kita fikirkan untuk mewujudkan satu regata sirkit di mana lokasi penganjuran akan disokong menerusi pendekatan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Benak 2025 Edisi ke-22 di Pentas Utama Tebingan Sri Aman, di sini hari ini.

Menurut Abang Johari, regata telah menjadi platform mengeratkan silaturahim antara masyarakat berbilang kaum dan agama, selain merancakkan aktiviti ekonomi setempat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sehubungan itu, katanya, belanjawan negeri akan disusun semula dengan memberi suntikan ekonomi khusus bagi menyokong regata sirkit sebagai acara unik Sarawak.

Hadir sama Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang.