Sarawak anjur IDECS25 22-23 Oktober ini

KUCHING: Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS25) bakal memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai peneraju inovasi digital dan teknologi hijau.

Berlangsung pada 22 hingga 23 Oktober depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), persidangan kali ini mengangkat tema “AI & Evolusi Hijau: Pertumbuhan, Cabaran, dan Daya Tahan Komuniti”.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, persidangan memasuki edisi kelapan itu akan dirasmi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, persidangan ini akan menghimpunkan lebih 4,500 peserta terdiri daripada pakar industri, penggubal dasar, inovator, usahawan, organisasi alam sekitar dan komuniti pengetahuan dari dalam dan luar negara.

“Penganjuran IDECS25 adalah bukti komitmen kerajaan negeri menyelaras pembangunan ekonomi digital dengan agenda Environmental, Social, and Governance (ESG) serta United Nations Sustainable Development Goals (UNSDGs).

“IDECS terus menjadi pemangkin kolaborasi serantau serta platform integrasi dasar strategik dan kemajuan dunia nyata,” katanya dalam sidang media khas IDECS25 di Menara LCDA hari ini.

Ujar Julaihi, antara topik utama yang bakal dibincangkan termasuk pembangunan ekonomi berkuasakan AI, bandar pintar, tadbir urus digital, ekonomi kitaran, pembangunan lestari serta bioteknologi.

Jelasnya, persidangan ini turut menampilkan barisan penceramah antarabangsa terkemuka seperti James Barrat, Dr. Ayesha Khanna dan Dr. Justin Cohen,” katanya.

IDECS25 dianjurkan bersama Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Information Systems (SAINS) dengan Bioeconomy Corporation sebagai rakan strategik.

Antara penaja utama termasuk Huawei, Insights Analytics Berhad, ZTE, MDEC, TERAJU, Yayasan Peneraju, SAINS dan ZUS Coffee.