Fahami hala tuju pembangunan negara menerusi Jelajah Jalinan Borneo RMK13

MUKAH: Program Jelajah Jalinan Borneo Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi peluang kepada rakyat memahami serta menterjemah hala tuju pembangunan negara, khususnya di Sarawak.

Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib berkata, RMK13 yang dirangka untuk tempoh 2026 hingga 2030 adalah pelan pembangunan negara yang menekankan keterangkuman, kelestarian, serta daya tahan ekonomi.

“Pelaksanaan dasar tidak hanya bergantung kepada Kementerian Ekonomi, tetapi memerlukan kerjasama semua kementerian, jabatan, kerajaan negeri serta masyarakat di peringkat akar umbi.

“Pelaksanaan perlu praktikal dan memberi tumpuan kepada memenuhi keperluan rakyat. Platform libat urus seperti ini amat penting untuk menyelaras strategi dan memastikan pelaksanaan yang mampan,” katanya pada program itu di Dataran Pehin Setia Raja Mukah, semalam.

Katanya, fokus RMK13 termasuk menstruktur semula ekonomi negara agar Malaysia menjadi peneraju serantau, di samping memastikan pembangunan seimbang antara wilayah.

Bagi Sarawak, pelan ini disokong Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS2030) yang menekankan pertumbuhan dua kali ganda menjelang 2030 melalui sektor strategik seperti pembuatan, pelancongan dan sebagainya.

Terdahulu dalam ucapan aluan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, sesi libat urus itu menjadi wadah untuk masyarakat, pakar industri, NGO, mahasiswa, belia serta penjawat awam menyuarakan pandangan dan cabaran setempat.

Katanya, ia berperanan merapatkan jurang antara dasar kerajaan dengan rakyat, selain menyampaikan intipati RMK13 secara jelas agar masyarakat memahami peranan mereka dalam pembangunan negara.

“Sarawak dijangka mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 4.6% bagi tempoh 2026–2030, menandakan potensi ekonomi yang semakin kukuh pimpinan Premier Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya.