LAWAS: Peranan dan kolaborasi pemegang taruh diperlu bagi membolehkan penyediaan infrastruktur digital yang lengkap di Sarawak khususnya di Limbang dan Lawas.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sehubungan itu agensi pelaksana, kontraktor dan masyarakat perlu memastikan projek telekomunikasi berjalan lancar.
“Apa yang penting ialah memastikan infrastruktur lebih baik, termasuk telekomunikasi dan multimedia, serta memberikan perkhidmatan yang diperlukan,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Pembangunan Telekomunikasi dan Multimedia Sarawak, Bahagian Limbang di Hotel Seri Malaysia Lawas semalam.
Katanya, pembangunan telekomunikasi bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk masa depan generasi baharu.
Ini agar mereka berhak menikmati peluang pendidikan dan ekonomi yang setaraf dengan bandar-bandar besar, katanya.
“Matlamat kita jelas. Kita ingin menjadikan Sarawak, termasuk Limbang dan Lawas, sebahagian daripada ekonomi digital yang maju dan inklusif menjelang 2030.
“Dengan adanya infrastruktur moden, pembangunan pelabuhan, dan telekomunikasi yang mantap, serta kerjasama dengan negara jiran dan agensi persekutuan, Lawas tidak lagi hanya sebuah daerah di sempadan. Kita akan muncul sebagai hab ekonomi baharu di utara Sarawak,” tambah Awang Tengah.
Jelasnya lagi, Kerajaan Sarawak tidak mahu rakyat negeri ini ketinggalan dan hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mahu anak-anak negeri ini menjadi jurutera, pereka aplikasi, dan usahawan digital.
“Kajian pakar antarabangsa menunjukkan bahawa digitalisasi mampu menyumbang berbilion ringgit kepada KDNK sesebuah negara.
“Ini bukan sekadar harapan, tetapi peluang nyata yang boleh direalisasikan sekiranya Sarawak dilengkapi dengan infrastruktur digital yang kukuh dan menyeluruh,” ujarnya.
