Regata Telaga Air: Tapak parkir kenderaan dikenal pasti

TELAGA AIR: Pengelola Pesta Regata Telaga Air 2025 menyediakan tempat parkir kenderaan sementara  di beberapa lokasi di kawasan Kampung Telaga Air dan sekitarya pada 26 hingga 28 September ini.

Usaha ini  untuk membolehkan pengunjung meletakkan kenderan masing-masing dengan  selamat dan selesa ketika menyaksikan pesta tersebut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola pesta Kr Sebeki Jen berkata, lokasi berkenaan ialah di perkarangan Pusat Latihan Sarawak, Institut Kemahiran Islam Sarawak (IKMAS), tepi jalan di persimpangan ke Kampung Trombol, Surau Ar Rahman Kampung Temedak dan Masjid Darul Halim, Kampung Temenggong, 

Tempat lain ialah kawasan lapang berbatu, padang bola sepak lama, SK Kampung Telaga Air,  dan Masjid Darul Solihin,  Kampung Telaga Air.

Katanya, orang ramai yang ingin berkunjung ke Kampung Telaga Air semasa temasya itu boleh memilih untuk meletakkan kenderaan masing-masing di lokasi berkenaan.

“Orang ramai jangan risau kerana pihak jawatankuasa pengelola Pesta Regata Telaga Air akan menempatkan beberapa pengawal keselamatan  di lokasi terbabit untuk memastikan kenderaan mereka selamat.

“Pada masa sama, pemandu atau penumpang kenderaan berkenaan boleh berkunjung ke tapak regata dengan menaiki van yang disediakan secara percuma,” katanya.

Sementara itu, aktiviti gotong-royong membersihkan tebingan dan Jeti Esplanade Telaga Air diadakan.

Gotong-royong itu diketuai  Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kr Mahmud Dato Sri Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pesta Telaga Air 2025, ahli-ahl majlis MPP, staf MPP dan penduduk Kampung Telaga Air.

Menurut Kr Sebeki, penganjur juga menyediakan lapan van setiap hari untuk membawa orang ramai datang ke tempat regata mulai jam  8 pagi hingga 5  petang. 

Pesta Regata Telaga Air dikelolakan bersama oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kampung Telaga Air dan didukung oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Pejabat Pusat Khidmat Parlimen P.193 Santubong dan Pusat Khidmat ADUN N.4 Pantai Damai.