Sukan Borneo pupuk perpaduan serantau

KUCHING: Temasya sukan serantau, Sukan Borneo 2025 Kuching (BGK) 2025 membuka tirainya dalam suasana meriah serta semangat kesukanan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini, hari ini.

Sukan serantau itu bermula 24 hingga 28 September ini menghimpunkan lapan jenis sukan iaitu renang, badminton, olahraga, memanah, lawn bowls, tarik tali, menyumpit dan golf khas untuk VIP.

Bercakap ketika ditemui selepas majlis perasmian, Abdul Karim memberitahu, kontinjen Sarawak tidak menyasarkan mana-mana jumlah pingat tetapi penganjuran kali ini memberi semangat kekitaan sesama rakan di kepulauan Borneo.

Jelasnya, ia membawa makna kegembiraan dan kebersamaan berbanding persaingan siapa menang atau kalah.

“Apabila kita dapat menganjurkan temasya seperti ini, kita dapat menyatukan rakyat dan wilayah di Borneo.

“Itulah yang memberikan kegembiraan kepada kita kerana kita tidak melihat pertandingan ini dalam bentuk siapa yang menang atau kalah.

“Tetapi ia memadai agar dapat mengukuhkan semangat kekitaan antara wilayah di Borneo,” katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Keusahawanan Dato Gerald Rentap Jabu dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat hadir sama.

Sementara itu dalam ucapannya, Abdul Karim berkata, inisiatif menghidupkan semula Sukan Borneo adalah aspirasi Premier Sarawak yang mahu mengembalikan semangat kebersamaan, memupuk perpaduan serantau dan memberi peluang kepada atlet.

Katanya, penganjuran temasya ini turut menjadi pemangkin kepada aspirasi di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, khususnya dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai Hab Sukan Serantau menjelang tahun 2030.

“Sukan ini bukan sahaja menampilkan kehebatan atlet, malah memperlihatkan kemampuan Sarawak sebagai tuan rumah yang berwibawa, berdaya saing dan bersedia menganjurkan acara bertaraf antarabangsa,” katanya.

Untuk rekod, Sukan Borneo mempunyai sejarah panjang. Pertama kali dianjurkan pada 1954 di Seria, Negara Brunei Darussalam, ia telah menjadi pentas yang menyatukan atlet daripada Sarawak, Sabah dan Brunei. Namun, selepas edisi ke-16 pada 1970, temasya ini terhenti akibat pelbagai kekangan.

Pada 2005, ia dihidupkan kembali sehingga 2013, dan kali terakhir dianjurkan di Labuan. Hari ini, selepas 12 tahun menyepi, Sarawak menghidupkan semula legasi ini di bumi Kuching, katanya.