Belia pewaris kepimpinan masa depan – Len Talif

BINTANGOR: Belia merupakan aset penting negara yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Taliff Salleh, berkata justeru belia berpegang kepada jati diri bagi memastikan mereka berintegriti, amanah dan telus.

Katanya, inisiatif kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan kem pembangunan belia perlu dimanfaatkan untuk kebaikan sendiri.

“Jadikan segala pengalaman, latihan dan ilmu yang diperoleh sebagai bekalan dalam kehidupan harian.

“Amalkan sikapbertanggungjawab, nilai murni dan elakkan daripada terjebak dengan perkara negatif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penangguhan Kem Pemantapan Jati Diri Belia Peringkat Bahagian Sarikei, di sini, hari ini.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu lagi, isu dadah dan substan menjadi ancaman utama belia hari ini dan harus dibendung sekerasnya agar tidak melarat sehingga menyusahkan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

“Statistik menunjukkan bahawa majoriti penagih dadah baharu datang dari kalangan belia.

“Justeru, melalui program seperti ini kita mengajak anak-anak muda agar menjauhi sama sekali gejala penyalahgunaan dadah, vape, rokok dan sebarang substan yang boleh merosakkan akal, tubuh dan jiwa,” tegasnya.