KABONG: Projek pembangunan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Junid Gerigat di sini, sudah disiap dan diserahkan pada hari ini.
Projek ini sebahagian daripada cadangan menyiapkan baki kerja untuk pembangunan semula sekolah daif di Sarawak.
Projek itu membabitkan peruntukan RM1 bilion fasa satu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Majlis penyerahan rasmi projek tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Dalam ucapannya, beliau mendedahkan projek bermula 10 Julai 2020 dengan nilai kontrak asal RM5.7 juta dan berdepan cabaran termasuk kegagalan kontraktor asal.
Namun, katanya projek telah disambung semula pada Oktober 2024 oleh kontraktor baharu, DHC Enterprise, bagi menyiapkan baki kerja bernilai RM335,000 dan selesai sepenuhnya pada Jun 2025.
“Penyediaan infrastruktur baharu ini bukan sekadar meningkatkan keselesaan guru dan murid, tetapi juga memperkukuh aspek keselamatan sekolah, termasuk pencegahan kebakaran,” katanya.
Beliau menambah, projek ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat luar bandar, khususnya dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat.
Turut hadir Penolong Jurutera JKR Bahagian Betong Ir Ts Muhammad Kashral Kamalmirza; wakil Pegawai Daerah Kabong, Ahmad Sabree Salleh; Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Awet Gapor serta Guru Besar SK Haji Junid Gerigat, Jamel Razali.
