Sarawak percepatkan pelaksanaan strategi sifar bersih

KUCHING: Usaha mempercepat pelaksanaan Strategi Sifar Bersih dan Rancangan Karbon adalah bukti komitmen Sarawak untuk mencapai pembangunan hijau dan lestari.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, pelan itu menjadi panduan menyokong peralihan Sarawak ke arah pembangunan rendah karbon melalui tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, bioenergi dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Melalui strategi sifar bersih “Sarawak dan Rancangan Karbon, Sarawak bukan hanya merancang di atas kertas tetapi melaksanakan komitmen sebenar yang berkembang seiring dengan kemajuan, inovasi dan kerjasama,”katanya ketika dalam ucapan aluan perasmian Road to Belem: Accelerating Climate Action in Sarawak di sini, hari ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmikan program berkenaan.

Dr. Hazland menambah, kejayaan Sarawak dalam menangani perubahan iklim bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak termasuk industri, institusi penyelidikan, komuniti, belia dan individu.

“Melalui usaha bersama kita dapat membangunkan teknologi inovatif mengadaptasi model perniagaan mampan serta mewujudkan peluang pekerjaan hijau untuk manfaat rakyat dan alam sekitar,” katanya.

Majlis berkenaan turut menampilkan sesi perkongsian dan jaringan antara agensi kerajaan, sektor industri dan komuniti bagi memperkukuh tindakan bersama terhadap perubahan iklim di Sarawak.