Bersedia untuk perdagangan karbon – Abang Johari

KUCHING: Sarawak yang mempunyai autonomi terhadap tanah dan hutan di bawah Perlembanggan Persekutuan bersedia melaksanakan perdagangan karbon, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sungguhpun autonomi itu membolehkan Sarawak menggubal undang-undang sendiri berkaitan karbon dan alam sekitar, namun masih menunggu penetapan struktur kewangan global bagi urus niaga tersebut.

“Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan kerangka perundangan sendiri, walaupun dunia masih tercari-cari model kewangan sesuai untuk menentukan harga karbon,”katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Road to Belem: Accelerating Climate Action in Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari menegaskan, Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Bank Dunia bagi memastikan pelaksanaannya dapat dijalankan secara teratur dan telus.

“Buat masa ini, belum ada struktur kewangan yang jelas dalam perdagangan karbon. Tetapi, kita di Sarawak sudah bersedia dengan model tersendiri dan kerjasama dengan Bank Dunia bertujuan mendapatkan data tepat berkaitan nilai, jumlah dan harga penyimpanan karbon,” katanya.

Pada majlis itu, Premier Sarawak turut menyaksikan penyerahan buku ‘Balancing Innovation and Coordination: Institutional Solutions for Effective Climate Action in Malaysia’s Borneo States’ oleh wakil Bank Dunia dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.