LIMBANG: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yakin kira-kira 26,000 pelajar tahun enam yang akan menduduki Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UPDLP) memperoleh keputusan cemerlang.
Beliau menzahirkan rasa keyakinan itu berdasarkan persediaan yang dilakukan Sarawak untuk program berkenaan sejak enam tahun lalu.
“Kita berharap calon-calon UPDLP Sarawak akan beroleh keputusan 100 peratus lulus dalam ujian yang akan diadakan pada 15 dan 16 Oktober ini,” katanya ketika ditemui media pada Program Linguisthon (Linguistic Marathon) 2025, Peringkat Negeri Sarawak anjuran Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai di Dewan Bunga Raya di sini hari ini.
Beliau berkata, program yang dilakukan sejak enam tahun lalu itu bukan setakat penanda aras baharu kepada keberkesanan pelaksanaan DLP malah mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan mutu pendidikan di negeri ini terus ditingkatkan mengikut piawaian antarabangsa.
“Kita optimis mereka akan mencapai keputusan cemerlang kerana program DLP untuk Sarawak ini sudah dilaksanakan sejak enam tahun bermula dari darjah satu.
“Selepas enam tahun, saya percaya dengan program yang selalu kita adakan untuk pelajar dan guru selama ini, tentu pelajarnya sudah bersedia,” tegas beliau.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee dan Datuk Francis Harden Hollis, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal dan Pegawai Pendidikan Daerah, Mat Zinan Wahit.
Sagah berkata, UPDLP Sarawak adalah ujian piawaian bagi murid tahun enam dan pelajar tingkatan tiga yang terbabit dalam program berkenaan.
Penilaian murid untuk subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris serta kertas peperiksaan dibuat oleh guru pakar tempatan serta disahkan oleh Cambridge University Press and Assessment (CUPA).
Seramai 200 murid di daerah ini menyertai program itu sebagai persediaan untuk perlaksanaan UPDLP Sarawak yang bermula 15 dan 16 Oktober ini.
