KCFC wujudkan kesedaran kepentingan kesihatan mental

KUCHING: Kelab bola sepak Kuching City FC (KCFC) menjadikan sukan sebagai medium mewujudkan kesedaran kesihatan mental dan sokongan serta pemulihan mental.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi KCFC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ini selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat Sarawak.

“Inisiatif seperti ini sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi ekonomi, sosial dan mental menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Hari Mental Sedunia 2025 di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini, hari ini.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong menekankan kesejahteraan mental merupakan aspek penting dalam membentuk masyarakat sejahtera dan produktif.

“Apabila masyarakat dapat menerima dan memahami perkara ini, kita boleh bergerak untuk membantu antara satu sama lain,”tambahnya.

Sehubungan itu, KCFC dan Mentari Malaysia berkolaborasi mewujudkan kesedaran kepentingan kesihatan mental melalui pendekatan sukan ketika program itu.

Pelbagai aktiviti meliputi sesi interaksi dan sukan santai bersama pemain KCFC dan peserta Mentari Malaysia yang berperanan sebagai pusat kesihatan mental komuniti di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyediakan perkhidmatan psikiatri dan psikologi di peringkat masyarakat.

Program berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KCFC Iswandi Ali Hassan dan wakil Mentari Malaysia dari Hospital Sentosa Dr Zuria Idura.