KUALA LUMPUR: Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi meringankan kos sara hidup rakyat telah meningkat kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan STR dan SARA kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak telah meningkat dari RM 1.1 bilion pada 2022 kepada RM 1.9 bilion (2025).
Manakala, kaum Melayu meningkat dari RM4.5 bilion (2022) kepada RM 7.1 bilion (2025) dan kaum India naik dari RM0.6 bilion (2022) kepada RM1 bilion (2025).
Beliau turut mengumumkan bantuan STR dan SARA bagi 2026 berjumlah RM15 bilion.
“Peningkatan ini adalah hasil penjimatan yang diraih dari penyasaran subsidi seperti diesel dan RON95,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Madani 2026 bertemakan “Belanjawan Rakyat” di Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau juga mengumumkan bagi tahun 2026, semua seramai sembilan juta penerima STR turut menerima SARA sehingga RM100 setiap bulan atau RM1,200 setahun.
Manakala, seramai satu juta penerima STR di bawah eKasih menerima SARA sehingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun serta kategori bujang menerima RM600 iaitu RM50 sebulan melalui SARA.
“Kadar maksimum diterima isi rumah ialah RM4,600, iaitu pendapatan bawah RM2,500 sebulan dengan lima anak menerima STR RM2,200 dan SARA RM2,400,” tambahnya.
Beliau juga mengumumkan kerajaan sekali lagi akan memberi RM100 SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas yang akan disalur pada pertengahan Februari yang boleh dimanfaat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.
