KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak menerima peruntukan Persekutuan tertinggi dalam Belanjawan Madani 2026 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan pembangunan untuk Sabah, meningkat kepada RM6.9 bilion ketimbang RM4.4 bilion (2022) dan Sarawak terus meninggi kepada RM6 bilion ketimbang RM2.9 bilion ringgit (2022).
Belanjawan 2026 yang menetapkan sembilan Tekad Utama berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI, katanya, memperuntukkan sejumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion untuk tahun ini.
Daripada jumlah itu, beliau berkata, RM338.2 bilion untuk belanja mengurus, RM81 bilion untuk belanja pembangunan, RM30 bilion untuk pelaburan GLIC, RM10 bilion untuk pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion untuk pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat MKD.
Tema Belanjawan 2026 ialah ‘Belanjawan Rakyat’.
Perdana Menteri berkata, untuk memastikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung menikmati manfaat digital yang sebaiknya,sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dibangun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sepanjang 3,190 kilometer (km) bernilai RM2 bilion.
Ini melibatkan laluan dasar laut dari Sedili di Johor, ke Kuching dan Sibu di Sarawak; seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah, tegas beliau.
Sebanyak RM20 juta disediakan untuk menambah tapak dan ruang niaga yang dilengkapi kemudahan asas kepada peniaga kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.
Kerajaan Persekutuan, katanya, akan membina jalan utama Bahagian Kapit dari Nanga Serau ke Nanga Seranau, Bahagian Kapit dan Klinik Kesihatan dengan Kuarters Mukah dengan Kompleks Kesihatan Bersepadu Bahagian Mukah.
Selain itu, katanya, Kerajaan Persekutuan akan turut membangunkan Program Peningkatan Pengeluaran Lembu Pedaging, Program Pemerkasaan Industri Padi dan Beras dan Program Perumahan Rakyat (PRR) di Samariang, Kuching.
