Jepak sebagai komuniti maritim bebas dadah pertama Sarawak

BINTULU: Kawasan Jepak berpotensi menjadi model komuniti maritim bebas dadah pertama Sarawak melalui Program Sahabat Maritim Bebas Dadah Bersama Komuniti Nelayan Bintulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, ini melalui dua elemen baharu program terbabit mulai tahun hadapan iaitu Latihan Ekonomi Maritim dan Keusahawanan Nelayan Muda serta Kempen Digital Kesedaran Maritim.

Beliau berkata, Latihan Ekonomi Maritim dan Keusahawanan Nelayan Muda akan menumpukan pembangunan kemahiran baharu bagi belia pesisir dan keluarga nelayan seperti pemprosesan hasil laut, inovasi produk maritim, pengurusan kewangan kecil serta pemasaran digital.

“Kempen Digital Kesedaran Maritim pula akan dilaksanakan dengan pendekatan lebih segar dan mesra belia menggunakan platform media sosial, video kreatif dan kandungan digital bagi menyampaikan mesej keselamatan laut, tanggungjawab sivik serta bahaya penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Sahabat Maritim Bebas Dadah Bersama Komuniti Nelayan Bintulu di Balai Raya Kampung Jepak di sini.