SINGAPURA: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Singapura hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2025.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Seletar kira-kira jam 4 petang waktu tempatan, diiringi Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki.
Hadir menyambut ketibaan Premier Sarawak ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.
Premier Sarawak dijadual menyampaikan ucaptama bertajuk “Advancing Sustainable Hydropower And Regional Energy Integration” di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, Marina Bay Sands esok.
Terdahulu, beliau dijadual menerima kunjungan hormat delegasi dari MASDAR bagi membincangkan kerjasama dalam projek tenaga diperbaharui.
Selesai menyampaikan ucaptama, Premier Sarawak akan ditemuramah oleh agensi berita CNA dan Independent Commodity Intelligence Services (ICIS).
Beliau dijadual bertolak pulang ke Kuching pada Selasa.
SIEW merupakan platform tahunan untuk profesional tenaga, pembuat dasar dan pengulas berkongsi amalan terbaik dan penyelesaian dalam ruang tenaga global.
Dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA), SIEW 2025 yang berlangsung dari 27 hingga 31 Oktober ini akan menampilkan ucaptama peringkat tinggi dan perbincangan panel memfokuskan tema “Envisioning Energy Tomorrow, Building Systems Today”.
Ia menghimpunkan beberapa penceramah terdiri daripada pemimpin dari serata dunia dan tokoh terkemuka dalam sektor tenaga berkongsi pandangan dan kepakaran masing-masing.
Acara penting lain termasuk Forum Singapura-IEA, Forum Peringkat Tinggi Singapura-IRENA, Wawasan Tenaga SIEW, SIEW TechTable dan Meja Bulat SIEW Thinktank.
