KUALA LUMPUR: Pembentukan rangka peraturan serta ekosistem perdagangan kuasa serantau dilihat sebagai langkah asas dalam merealisasikan agenda Grid Tenaga ASEAN yang menghubungkan pasaran tenaga antara negara-negara anggota.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan projek tenaga berskala besar memerlukan pendekatan tersusun yang melibatkan rangka kerja perdagangan kuasa dan kawalselia pasaran bagi memastikan setiap negara memperoleh manfaat secara adil dan mampan.
“Sebelum kita mengorak langkah, kita perlu faham dahulu ekosistem yang akan diwujudkan. Tenaga kini menjadi komoditi yang boleh diniagakan, jadi struktur ekonomi dan peraturan mesti kukuh sebelum pelaksanaan diperluas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi perbincangan bertajuk “Energy Transition and the ASEAN Power Grid – Connecting Markets, Securing Futures” sempena ASEAN Business & Investment Summit (ABIS) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Jelasnya, model terbaik yang boleh dijadikan rujukan ketika ini ialah sistem perdagangan kuasa antara negara-negara Nordik dan Kesatuan Eropah (EU) yang berjaya mewujudkan bursa tenaga serta harga tenaga spot yang stabil dan telus.
Menurutnya, Sarawak ketika ini sedang menstrukturkan pembangunan empat hab tenaga utama iaitu tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, gas serta Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
Ini katanya, bagi membentuk ekosistem tenaga menyeluruh sebelum melangkah ke tahap perdagangan kuasa di peringkat serantau.
Panel perbincangan tersebut turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Asia Tenggara Bank Pembangunan Asia (ADB) Winfried Wicklein, dan Naib Presiden Kumpulan Industri – Tenaga Nasional Vietnam (PetroVietnam) Le Manh Cuong, dengan sesi dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN Dato Ir. Ts. Abdul Razib Dawood.
Sebagai platform ekonomi tahunan utama di rantau ini, ABIS 2025 menghimpunkan pemimpin kerajaan dan industri dari seluruh ASEAN untuk membincangkan kerjasama serantau dalam pelaburan, tenaga hijau, transformasi digital serta integrasi ekonomi, selaras dengan aspirasi Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang 2035.
Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Datuk Ibrahim Baki dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel.
