KUCHING: Sarawak memperkukuh ekonomi Bumiputera melalui Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera Sarawak (MEB-Sarawak) 2025 yang menekankan strategi jangka panjang dan penglibatan aktif Bumiputera dalam sektor bernilai tinggi.
Mesyuarat sulung tahun ini dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang menegaskan Bumiputera perlu bersaing dan mengambil peranan utama dalam industri strategik.
Draf Terma Rujukan (TOR) MEB-Sarawak dibentangkan sebagai panduan menyelaras dasar dan inisiatif pembangunan sosioekonomi di negeri ini.
Kerangka Strategik 3-7-20 dibincangkan bagi memastikan pelaksanaan program jangka sederhana dan panjang fokus kepada keusahawanan, pendidikan, pembangunan modal insan, dan pemilikan ekuiti Bumiputera.
Mesyuarat turut menekankan Pelan Tindakan Ekonomi Bumiputera Sarawak 2035 bagi memastikan penyertaan Bumiputera dalam sektor bernilai tinggi dan berimpak besar.
Langkah ini dijangka meningkatkan daya saing Bumiputera, membuka peluang keusahawanan baharu, dan memperluas penglibatan dalam sektor teknologi, perkhidmatan premium, serta industri strategik.
Dengan penyelarasan dasar dan pelaksanaan berfokus, Sarawak diyakini mampu memperkukuh sosioekonomi Bumiputera, membina modal insan berdaya saing, serta memastikan pembangunan inklusif dan mampan bagi generasi akan datang.
