Pesta Badudun Lumba Kerbau simbol perpaduan masyarakat majmuk Sarawak

LIMBANG: Pesta Badudun (Berkunjung) dan Lumba Kerbau bukan sekadar mengetengahkan budaya, tetapi memperkukuhkan perpaduan dan kebersamaan komuniti pelbagai kaum di negeri ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pesta berkenaan memiliki teras kehidupan dan adat resam bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Melayu malah masyarakat lain.

“Penganjuran pesta sebegini memberi peluang kepada penduduk kampung mempromosikan produk tempatan selain menonjolkan keunikan lumba kerbau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmi Pesta Badudun dan Lumba Kerbau di Kampung Lubuk Piasau.

Awang Tengah berkata, lumba kerbau ini bukan sekadar pertandingan tetapi memerlukan kemahiran termasuk semasa Pesta Babulang dan simbol kebersamaan antara masyarakat pelbagai kaum.

Turut sama ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML) Mohamad Abu Bakar.

Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2025 edisi ke-11 salah satu program utama di utara Sarawak khususnya di Limbang yang bakal mempersembahkan acara menarik iaitu lumba kerbau.

Lebih 30 pelumba kerbau memeriahkan pertandingan lumba kerbau yang menjadi acara utama Pesta Badudun.

Lebih 10,000 pengunjung memeriahkan pesta ikonik anjuran Persatuan Melayu Limbang (PML) serta Persatuan Penternak dan Lumba Kerbau Limbang (PPLKL) mendapat kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang.