Samarahan catat jangkaan hayat tertinggi

KUCHING: Sarawak adalah antara empat negeri di negara ini yang mempunyai jangkaan hayat melebihi paras nasional pada tahun 2025.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), di Samarahan jangkaan hayat ketika lahir terus meningkat – 79.8 tahun pada 2023, 80.4 tahun pada 2024 dan 80.9 tahun pada 2025 iaitu tertinggi dalam negara.

Manakala jangkaan hayat paling rendah pula direkodkan di Kanowit, pada 66.5 tahun menjelang 2025, katanya dalam ucapan aluan pada Persidangan Antarabangsa Berkaitan Penuaan Sarawak (SICA) 2025 di sini.

Majlis dirasmikan Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, persidangan yang bertemakan, ‘Ageing with Dignity: Policies for Rights, Inclusion and Social Protection,’ mengingatkan penuaan bukan sekadar trend demograpi tetapi satu perkongsian usaha bersama.

Perkongsian usaha bersama itu, katanya, menghubungkan setiap generasi dengan perasaan hormat, saling memahami dan kasih sayang.

Fatimah menegaskan, di Sarawak penuaan bukan menjadi satu beban tetapi meraikan jangkaan hayat iaitu kejayaan menambahbaik kesihatan, pendidikan dan mutu kehidupan.

Penuaan, katanya, memberi makna menjalani kehidupan sihat yang bermakna, dengan jagaan, bertujuan, saling berhubungan dan digniti.

Oleh kerana Malaysia kini bergerak pantas ke arah sebuah masyarakat menua, beliau berkata, kerajaan perlu bersiap siaga dari segi sosial, ekonomi dan kesihatan, agar kesejahteraan warga emas sentiasa terpelihara.

Fatimah berkata, di Sarawak antara inisiatif dilaksanakan kerajaan menjaga warga emas ialah memperkenalkan Kad Emas Kenyalang yang menyediakan potong khas, faedah dan akses kepada perkhidmatan yang meringankan beban kewangan mereka.

Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB), katanya, pula menyediakan peruntukan RM50 juta menawarkan jagaan kesihatan tanpa tunai bernilai sehingga RM500 setahun di lebih 290 klinik panel di seluruh negeri.

Bagi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), katanya, kerajaan menyediakan bantuan kewangan RM250 hingga RM800 untuk membantu meringankan beban kos sara hidup.

Di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE), kerajaan menyediakan hab rekreasi, aktiviti kesihatan dan tempat berhimpun untuk masyarakat, tegas beliau.

Kerajaan, tambahnya, turut melaksanakan khidmat bergerak untuk membolehkan rakyat di luar bandar mendapat bantuan kebajikan dan mendaftar supaya tiada seorang pun ketinggalan.