KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menaik taraf I-CATS University College (I-CATS) milik Kerajaan Sarawak sebagai universiti penuh di sini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pihaknya menerima keputusan itu daripada Kementerian Pendidikan Tinggi kerana I-CATS memenuhi semua syarat untuk dinaik taraf sebagai universiti penuh.
“Kini kita mempunyai dua universiti berteraskan teknologi, iaitu Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu dan I-CATS yang kini diiktiraf sebagai universiti penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) 2026 edisi ke-14 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, selain itu, I-CATS juga telah menjalin kerjasama akademik dengan beberapa universiti antarabangsa, termasuk Universiti Teknologi Istanbul, di samping kerjasama dengan universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Mereka turut menawarkan peluang kepada pelajar untuk mengikuti program pengajian di luar negara,” katanya.
Sementara itu, mengenai kampus baharu I-CATS, beliau berkata pembangunan itu sedang dirancang di Tanjung Embang dengan anggaran kos sebanyak RM400 juta.
“Pembangunan ini akan dilaksanakan secara berfasa, termasuk penyediaan kemudahan lengkap untuk pelajar,” tambahnya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan kerjasama di antara TEGAS dengan lima rakan strategik.
Antaranya, Majlis PerbandaranPadawan (MPP), Sarawak Artificial Intelligence Centre (SAIC), PETROS, UiTM Cawangan Sarawak dan Pandai Education.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol serta Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki.
