Pesta SCAT tawarkan 1,983 jawatan kosong

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menyasarkan seramai 25,000 pengunjung berkunjung ke Pesta Kerjaya dan Latihan (SCaT Fair) 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata program itu menyediakan lebih 130 booth pameran agensi kerajaan, swasta dan institusi pengajian tinggi sebagai One Stop Centre menggabungkan Peluang Pendidikan, Kerjaya dan Bantuan Pendidikan.

“Pengunjung dapat meneroka peluang pengajian akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), menghadiri sesi temu duga bagi jawatan yang ditawarkan oleh majikan dan mendapatkan maklumat dan akses pembiayaan pengajian secara terus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Majlis Perasmian Pesta SCaT 2026 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Len Talif menjelaskan, TEGAS bertindak sebagai pemangkin yang menyatukan keseluruhan ekosistem pembangunan bakat, yang bermula dari peringkat sekolah, institusi latihan, sehingga ke komuniti keusahawanan.

Melalui jaringan ini, katanya pelajar didedahkan untuk melihat gambaran besar tentang bagaimana kemahiran teknikal yang dipelajari boleh diterjemahkan kepada peluang kerjaya berimpak tinggi dan penciptaan nilai dalam masyarakat.

Sementara itu, menurut kenyataan media TEGAS, SCaT Fair 2026 dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) bersama TEGAS, dengan sokongan strategik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menawarkan sebanyak 1,982 kekosongan jawatan.

Ini merangkumi pelbagai sektor termasuk pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, teknikal serta minyak dan gas melalui sesi temu duga terbuka dan padanan kerjaya.