KUCHING: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah menghadiri Malam Perasmian Festival Gendang Sarawak 2025 di Tebingan Kuching, di sini, malam tadi.
Baginda menghadiri majlis ini bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada majlis tersebut, baginda berdua serta tetamu kenamaan lain turut menyaksikan Pertandingan Akhir Gendang Melayu Sarawak bagi kategori bertandak berpasangan kanak-kanak dan bermukun berkumpulan.
Majlis diakhiri dengan persembahan laser, lalu lintas perahu e-penambang dan pertunjukan bunga api.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, festival ialah program dibawah Geran Dana Mudahcara Warisan, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
“Program ini juga diadakan sempena penganjuran Regata Sarawak, Kuching Waterfront Festival 2025 yang dianjurkan oleh Pejabat Residen Bahagian Kuching,” tambahnya.
Katanya, festival dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan merupakan program sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sejak 2014.
