UNIMAS raikan kohort pertama graduan Sarjana Pendidikan FPBK

SAMARAHAN: Seramai 11 wanita bekerjaya menjadi kohort pertama graduan Sarjana Pendidikan dalam Sains Pembelajaran di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Menurut kenyataan media UNIMAS, mereka dari Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi (FPBK) terdiri dari kalangan profesional antaranya pensyarah, guru sekolah antarabangsa, perancang bahasa dan pustakawan.

Dekan FPBK, Dr Dilah Tuah menzahirkan ucapan tahniah kepada kohort sulong sarjana pendidikan terbabit dan menyatakan fakulti itu amat berbangga dengan pencapaian graduan wanita yang berjaya menyeimbangkan tanggungjawab kerja, keluarga dan pengajian.

“Ini menunjukkan kekuatan semangat serta dedikasi wanita dalam bidang pendidikan,”ujar beliau.

Sementara itu, penyelaras program yang juga pakar teknologi AI-pendidikan, Chuah Kee Man berkata, program itu direka khas untuk golongan pendidik, pensyarah atau profesional pendidikan.

“Ini bagi memperkukuh kefahaman mereka dalam bidang pembelajaran berasaskan teknologi serta reka bentuk pedagogi abad ke-21,” katanya.

Kemasukan ke program ini adalah dua kali setahun, iaitu Februari dan Oktober serta pelbagai diskaun dan bisiswa ditawarkan kepada pelajar berminat bagi ambilan Februari akan datang.