Pelajar UiTM Cawangan Sarawak wakili negara ASEAN

PETALING JAYA: Kumpulan VerraWound Solution dianggotai dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak berjaya melangkah ke fasa kelima program China-ASEAN Innovation Quest 2025.

Menurut kenyataan UiTM, pelajar terbabit Nur Syazwani Samsudin sebagai ketua dan Ladydiana Dizebit daripada program Sarjana Muda Sains (Kimia) dan Pengurusan sekali gus terpilih untuk mewakili negara ASEAN ke Guilin University of Electronic Technology, Guilin, Nanning, China pada 1 hingga 4 Disember ini.

Mereka telah menyertai program China-ASEAN Innovation Quest 2025 sejak bulan Julai lalu dan mengambil bahagian dalam kategori Bioperubatan dengan projek bertajuk NanoVerra (Bamboo-based Nanocellulose for Modern Wound Care).

“Projek inovatif ini di bawah seliaan Profesor Dr. Khong Heng Yen selaku pensyarah penasihat disenarai pendek oleh penganjur, sekali gus melayakkan mereka ke fasa keempat: Kem Inovasi di Sunway University,” menurut kenyataan UiTM.

Projek NanoVerra hasil inovasi Nur Syazwani dan Ladydiana turut memenangi hadiah wang tunai RM2,000 serta XCeEd Scholarship Award bernilai RM15,000 sebagai pengiktirafan terhadap inovasi, dedikasi, dan potensi komersial projek tersebut.