Banteras isu dadah, substans antara isu sosial diberi keutamaan

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) menyambut baik ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah dan substans di negeri ini.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, fokus tersebut selaras dengan salah satu daripada 13 isu sosial yang menjadi keutamaan KPWK, iaitu menangani penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.

“Kami sangat gembira apabila Pesuruhjaya Polis Sarawak memberi penekanan tinggi terhadap isu dadah dan substans di Sarawak.

“Ini merupakan antara fokus utama Kementerian,” katanya ketika ditemui media semasa menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah di sini hari ini.

Beliau menzahirkan tahniah kepada Mohamad Zainal atas pelantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak dan menyifatkan langkah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Ketua Polis Daerah sebagai satu pendekatan proaktif dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan di peringkat akar umbi.

Tambah Fatimah, KPWK menghargai hubungan erat dan kerjasama strategik bersama PDRM yang bukan sahaja tertumpu kepada isu dadah, tetapi juga merangkumi pelbagai aspek sosial lain termasuk keganasan rumah tangga, kehamilan remaja, serta penderaan wanita dan kanak-kanak.