KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan membuka ruang kolaboratif bersama institusi pengajian antarabangsa yang menawarkan kursus Bahasa Melayu.
Profesor Adjung Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) UNIMAS, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr Awang Sariyan berkata, ini melalui FPBK dan menzahirkan keyakinan tinggi UNIMAS melalui fakulti itu mampu muncul sebagai pusat kecemerlangan bahasa terunggul di rantau ini kelak.
“Sekarang FPBK dan saya dalam perbincangan intensif untuk membuka ruang kolaboratif bersama-sama institusi pengajian antarabangsa di China, Jerman dan Jepun yang menawarkan kursus Bahasa Melayu,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Profesor Adjung bertajuk “Peranan Bahasa dalam Pembinaan Tamadun” di Kampus UNIMAS di sini, hari ini.
Menurutnya, setakat ini terdapat 12 institusi di China menawarkan kursus Bahasa Melayu, jadi beliau yakin UNIMAS boleh membuka pengajian Bahasa Melayu di sana.
Selain itu, Awang Sariyan berkata kekuatan Sarawak dari segi bahasa ialah kekayaan bahasa etnik dan suku yang perlu dipertahankan dan dilestarikan serta menasihatkan pelajar bahasa supaya selalu menulis.
