Bangunan asrama SK Sungai Antu terlalu usang, baiki segera

SARATOK: Bangunan Asrama SK Sungai Antu di sini kini tidak lagi sesuai didiami.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri memohon supaya proses pembinaan semula disegerakan dan dilaksanakan sepenuhnya tanpa berfasa.

“Struktur bangunannya sudah terlalu usang,” katanya mengulas mengenai bangunan asrama sekolah rendah terbabit di sini.

Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kasdi Pandi, yang mewakili beliau terdahulu meninjau struktur bangunan asrama itu bersama pihak sekolah dan komuniti setempat.

Turut hadir semasa melakukan tinjauan Pemangku Guru Besar SK Sungai Antu, Sita Inka; Yang Dipertua PIBG, Tuai Rumah Dom Brues; Tuai Rumah Ikom dan Tuai Rumah Amban.

Menurut Mohamad Duri memandangkan keadaannya yang terlalu usang, ia tidak lagi selamat didiami oleh murid-murid.

Beliau berkata, keadaan bangunan asrama tersebut amat daif dan memerlukan tindakan segera daripada pihak berwajib bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar tidak terjejas.

Menurutnya, beliau telah berhubung dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok dan dimaklumkan bangunan tersebut telah disenaraikan di bawah Program Ubah Suai Naik Taraf (USNT) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan kemungkinan peruntukan akan disalurkan pada tahun depan.

Bagaimanapun, beliau berharap kerja-kerja pembinaan dibuat secara menyeluruh.