MA63: Sarawak cadang ambil alih proses ambilan kakitangan perubatan

KUCHING: Kerajaan Sarawak menekankan kepentingan autonomi kesihatan untuk membolehkan pengambilan kakitangan perubatan sendiri.

Langkah itu penting dalam usaha mempercepatkan proses meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ia juga untuk mengatasi kekurangan tenaga perubatan yang menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

“Membina hospital baharu sahaja tidak mencukupi kerana tanpa kakitangan, hospital tidak dapat berfungsi dengan efektif.

“Kerajaan negeri bercadang mengambil alih proses pengambilan doktor, pakar dan jururawat melalui autonomi kesihatan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya selepas menyempurnakan Persidangan Pelancongan Perubatan Antarabangsa, di sini, hari ini.

Beliau menambah, Sarawak kini memerlukan lebih 11,000 jawatan baharu untuk menyokong tujuh hospital utama, menjadikan isu kekurangan tenaga kerja sebagai keutamaan segera.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga memerlukan sokongan kewangan kerana kadar cukai pintu lama sejak 1970-an tidak mencukupi untuk menampung kos semasa, katanya.