Ahli Parlimen GPS tolak dakwaan palsu kaitkan PETRONAS dengan tuntutan Sarawak

KUALA LUMPUR: Dakwaan PETRONAS mengambil keputusan untuk memberhentikan sebahagian daripada pekerjanya ada kaitan dengan tuntutan Sarawak terhadap sumber gas dan minyak adalah tidak benar sama sekali.

Kelab Penyokong Ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebarang penyusunan semula atau tenaga kerja yang diambil oleh PETRONAS merupakan keputusan bebas korporat berdasarkan keadaan pasaran global dan domestik.

Terdahulu, Kelab Penyokong GPS mengadakan sidang media yang diketuai Ahli Parlimen Sri Aman Dato Sri Doris Sophia semasa sesi rehat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Kenyataan itu adalah bagi mengulas beberapa naratif tidak betul yang disebar dalam media sosial dan platform atas talian berkaitan perkembangan sektor tenaga negara dan peranan yang dimainkan oleh Sarawak.

Ia tiada kaitan langsung atau tidak langsung antara keputusan dalaman PETRONAS dan hak Sarawak dalam memainkan peranan regulator dan komersial mengurus sumber minyak dan gasnya sendiri melalui PETROS, kata kenyataan itu.

Sarawak akan terus bekerjasama dengan PETRONAS, bagi menjamin kedua-dua entiti menyumbang secara positif kepada kelestarian bekalan tenaga dan kepentingan jangka panjang negara.

Kerjasama antara Sarawak dengan PETRONAS kekal kukuh, strategik dan berpandangan jauh.

Pembuangan pekerja adalah sebahagian daripada langkah strategik PETRONAS untuk mengecilkan saiz kakitangan dan tidak ada kaitan dengan hak kepentingan Sarawak dari segi perlembagaan.

Ulasan membandingkan modal pasaran Bank DBS dengan nilai jenama PETRONAS baru-baru ini juga adalah tidak benar. Turun naik modal pasaran disebabkan kekukuhan kewangan global dan sentimen pelabur – bukan disebabkan dasar tenaga negeri atau Sarawak menguruskan sumbernya.

Usaha Sarawak mengawal sumber aslinya berasaskan kesaksamaan, kepentingan hak berasaskan perlembagaan dan visi bersama untuk kemakmuran Malaysia secara bersama.

PETROS dan PETRONAS akan terus bekerjasama secara membina untuk menjamin masa depan bekalan tenaga Malaysia kekal kukuh, mampan dan inklusif, kata kenyataan itu.

Ahli-ahli Parlimen GPS juga menggesa orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengesahkan maklumat dengan mendapat sumber yang boleh dipercayai sebelum berkongsi dakwaan yang tidak betul.