KUCHING: Pindaan ke atas Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 adalah tepat pada masanya, strategik dan sangat penting.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Yakub Arbi berkata, pindaan RUU itu akan mengukuhkan susunan tadbir urus kerajaan, menyokong aspirasi pembangunan jangka panjang Sarawak dan meningkatkan keupayaan Kerajaan Sarawak.
RUU itu padat dan memberi impak yang bermakna, katanya semasa membahas RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Yakub yang menyokong RUU itu berkata, tujuannya untuk mengukuhkan jentera pentadbiran Kerajaan Sarawak dengan pelantikan tambahan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Ini bukan berbentuk perubahan teknikal tetapi adalah langkah strategik untuk menambahbaik keupayaan tadbir urus Kerajaan Sarawak sejajar dengan pembangunan pesat yang negeri ini alami, katanya.
“RUU itu dengan jelas menyatakan pelantikan tambahan MMKN bertujuan mengukuhkan tadbir urus Kerajaan Sarawak demi memenuhi tanggungjawab yang semakin bertambah,” tegas beliau.
