KUCHING: Pindaan ke atas Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 bertujuan mewujudkan sistem tadbir urus lebih berkesan dan menjadikannya bersifat mesra rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Shafiee Ahmad berkata, ia adalah perlu dan merupakan langkah strategik untuk memastikan sistem tadbir urus Kerjaaan Sarawak sejajar dengan tahap perkembangan politik, ekonomi dan tuntutan pembangunan.
Dengan kelulusan RUU Komposisi Keanggotaan ADUN pada persidangan khas DUN pada Julai lalu ia memberi laluan kepada penambahan jumlah kawasan DUN daripada 82 kepada 99
Pindaan RUU itu adalah tepat pada masanya bagi negeri Sarawak selepas pada persidangan khas DUN pada Julai lalu yang melulus RUU Komposisi Keanggotaan DUN dengan memberi laluan kepada penambahan jumlah kawasan DUN daripada 82 kepada 99, katanya semasa membahas RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 pada persidangan DUN di sini.
Beliau berkata, penambahan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan fokus kepada urusan pentadbiran dan tadbir urus dengan lebih cekap untuk membolehkan pembangunan dilaksanakan di seluruh negeri ini.
Ketika ini, katanya, ramai menteri memegang dua hingga tiga portfolio serentak yang menjadikan tugas mereka lebih berat untuk mencurah khidmat di kawasdan DUN yang lebih banyak.
Pindaan RUU itu akan memboleh menteri berkhidmat lebih cekap dan lebih fokus, katanya dan menambah, pertambahan menteri akan membolehkan kerajaan berkhidmat dengan cekap bagi memenuhi pertumbuhan ekonomi Sarawak yang cemerlang.
