Peluasan kabinet bantu kukuhkan agenda pembangunan, demi kesejahteraan rakyat

KUCHING: Pengukuhan semula struktur Kabinet Sarawak dilihat penting bagi memastikan setiap kementerian dipandu dengan fokus yang lebih terarah serta kepimpinan yang mampu melaksanakan dasar secara lebih berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, ketika ini, Kabinet beroperasi dengan formula 10 tambah satu, sedangkan jumlah kementerian melebihi bilangan menteri penuh.

“Akibatnya, ada menteri terpaksa mengetuai lebih daripada satu kementerian, keadaan yang disifatkan kerajaan sebagai tidak lagi mampan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Tambah beliau, tugas seorang menteri adalah komitmen sepenuh masa dan terdapat fungsi tertentu di bawah Perlembagaan Sarawak yang hanya boleh dipikul oleh menteri, bukan timbalan atau setiausaha politik.

Perluasan Kabinet katanya, dilihat penting untuk memastikan pelaksanaan dasar lebih teratur, selain mengukuhkan agenda pembangunan seperti ekonomi baharu, tenaga hijau dan keseimbangan pembangunan rakyat.

“Langkah ini turut selari dengan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diluluskan sebelum ini, bagi menyesuaikan pentadbiran dengan pertumbuhan dan keperluan semasa.

“Kedua-dua perubahan ini bertujuan memastikan pentadbiran terus bergerak seiring perkembangan dan mengekalkan momentum pembaharuan demi kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya lanjut.