Kabinet lebih besar, tumpuan lebih tepat untuk Sarawak

KUCHING: Penambahan bilangan menteri dalam kabinet negeri dilihat sebagai satu pelaburan penting bagi memastikan sektor-sektor strategik di Sarawak dapat diurus dengan lebih mendalam dan berkesan.

Ini seiring perkembangan ekonomi negeri yang semakin dinamik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, penambahan itu bukan isu saiz semata-mata, sebaliknya langkah memperkukuh kapasiti pentadbiran demi memastikan setiap kementerian mempunyai ruang kepimpinan mencukupi untuk memberi impak maksimum kepada rakyat.

“Prinsip pelaburan wajar difahami sebagai usaha menyediakan asas yang kukuh untuk manfaat jangka panjang, sama seperti peruntukan besar dalam bidang pendidikan yang kini mencecah ratusan juta ringgit demi masa depan generasi baharu,” katanya.

Beliau menyampaikan pandangan tersebut ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Sarawak (Pindaan) 2025 semasa Persidangan DUN Sarawak di sini petang tadi.

Fazzrudin menambah, struktur Kabinet yang lebih mantap telah membantu memperluas prestasi dan keupayaan kementerian, termasuk yang terlibat dalam kerjasama luar negara, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan hasil negeri.

Beliau turut menarik perhatian bahawa prestasi pendapatan Sarawak menunjukkan peningkatan ketara berbanding beberapa tahun lalu, apabila hasil negeri melonjak daripada angka sekitar RM5 bilion hingga RM6 bilion sebelum 2018 kepada jumlah belasan bilion pada masa kini.