LAWAS: Kerajaan akan berusaha menjadikan daerah ini sebagai pusat aktiviti budaya, sukan dan pelancongan.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata ketika ini daerah terbabit tidak sunyi berbagai program yang mengerakkannya menjadi pusat itu.
“Kita mahu supaya Lawas ini tidak ketinggalan dari segi apa sekalipun, baik sukan, pembangunan dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan Kejohanan Lipat Takraw SeBorneo Terbuka 2025 Piala Yang Berhormat Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Arena Lawas petang semalam.
Sebanyak 24 pasukan bersaing dalam kejohanan tiga hari itu dengan juara pasukan Krian Nenz Frenz A dari Kuching yang membawa wang tunai RM5,000 serta Piala Yang Berhormat Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Manakala Krian Nenz Frenz B juga dari Kuching selaku naib johan menerima hadiah wang tunai RM3,000 serta tempat diketiga dikongsi bersama pasukan OST A daripada Sabah dan Brunei Legend.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
