Lawas disambung ke Grid Utama Sarawak mulai 4 Disember ini

KUCHING: Daerah Lawas bakal menikmati bekalan elektrik lebih stabil dan moden apabila disambungkan sepenuhnya ke Sistem Grid Utama Sarawak mulai 4 Disember ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.

Katanya, langkah itu sekali gus menamatkan kebergantungan terhadap stesen janakuasa diesel.

Beliau berkata, talian penghantaran 275kV Bunut–Lawas mula beroperasi sejak minggu ketiga November lalu, manakala sambungan ke Sabah dijangka siap dan beroperasi pertengahan Disember ini.

Menurutnya, langkah itu akan membawa peningkatan besar dari aspek kestabilan bekalan, penjimatan kos serta kapasiti tenaga untuk penduduk di Lawas.

“Mulai 4 Disember ini, Lawas tidak lagi bergantung kepada Stesen Janakuasa Diesel kerana sistem bekalan elektrik di daerah tersebut akan disalurkan terus melalui Sistem Grid Utama Sarawak.

“Sementara itu, sambungan Limbang ke Grid Utama kini 90 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2026,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan DUN Sarawak Ke-19 hari ini.

Julaihi turut menjelaskan, perkembangan ini akan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Lawas dan Limbang, dua kawasan yang sebelum ini bergantung kepada sistem tenaga terasing.

Beliau menambah, Sarawak kini berada pada landasan yang kukuh untuk muncul sebagai kuasa tenaga utama negara, apabila rangkaian Sistem Penghantaran Grid 500kV negeri hampir siap sepenuhnya, memperkukuh sistem bekalan dari Miri hingga Kuching.

Julaihi turut mengesahkan penyempurnaan talian penghantaran 500kV Bunut–Similajau pada Ogos 2025, sekali gus melengkapkan rangkaian 500kV dari utara (Bunut/Similajau), tengah (Mapai) hingga selatan (Tondong).

Projek bernilai RM3.4 bilion itu kini beroperasi pada voltan 275kV dan akan dinaik taraf ke 500kV apabila Stesen Janakuasa Hidroelektrik Baleh mula beroperasi pada suku keempat 2029.

Peningkatan voltan ini, katanya, dijangka melonjakkan keupayaan eksport tenaga Sarawak, merangsang pembangunan industri hijau serta mengukuhkan peranan negeri sebagai hab tenaga serantau.