KANOWIT: Kementerian Kerja Raya hari ini menyerahkan Projek Gantian 18 Bilik Darjah dan Pelbagai Kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, berkata projek berkenaan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dengan kos keseluruhan berjumlah RM49.9 juta.
“Saya bersyukur kerana projek ini berjaya disiapkan dan diserahkan pada 5 November 2025, iaitu dua bulan lebih awal daripada jadual asal pada 9 Januari 2026,” katanya pada majlis penyerahan projek tersebut.
Menurut beliau, skop projek merangkumi pembinaan Blok Pentadbiran, Blok Akademik dengan 18 bilik darjah, surau, bengkel RBT, makmal komputer, makmal sains integrasi dan makmal kimia, dua bilik resos serta kemudahan sokongan termasuk Bilik Pam dan Bomba, Bilik Elektrik Utama, dua gelanggang permainan, pondok menunggu, pondok basikal dan pondok pengawal.
“Sekolah ini bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi menjadi simbol harapan dan masa depan generasi muda di Kanowit,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa dengan kemudahan yang lebih moden dan selamat, para pelajar dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih efektif, guru dapat mengajar dengan lebih berkesan, manakala ibu bapa pula lebih yakin terhadap masa depan anak-anak mereka.
