Ulu Gedong nikmati akses jalan perhubungan baharu

GEDONG: Penduduk Zon Ulu Gedong bakal menikmati jalan baharu menghubungkan Kampung Semalatong ke Kampung Gedong.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, jalan sepanjang 26 kilometer (km) itu dijangka memendekkan masa perjalanan kepada 25 minit sebaik sahaja siap.

“Ini bukti komitmen Premier Sarawak bahawa rakyat luar bandar tidak dipinggirkan. Projek ini akan memberi impak khususnya sektor pertanian dan pelancongan,” katanya ketika merasmikan Program Randau Solidariti Komuniti (PRSK) Samarahan 2025 di Rumah Suni anak Liam, Kampung Keniong Jaya.

Hadir sama, Wakil Khas ADUN Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais.

Rodiyah menegaskan komitmennya memastikan komuniti luar bandar, termasuk di Gedong, terus menikmati pembangunan selaras matlamat kerajaan mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Mengulas PRSK, beliau berkata program itu mengukuhkan jalinan komuniti dan membuka ruang dialog lebih berkesan antara kerajaan dan rakyat.

Rodiyah turut menyerahkan 10 unit alat pemadam api kepada Tuai Rumah Kampung Keniong Jaya sebagai inisiatif meningkatkan keselamatan kampung.