Jambatan Sebauh dibuka kepada orang ramai, akses lebih lancar

SEBAUH: Jambatan Sebauh sepanjang 728.56 meter di Batang Kemena di sini, dibuka kepada orang ramai pada hari ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyempurnakan majlis prapelancaran sekali gus sebagai
hadiah Krismas untuk penduduk Sebauh.

Uggah berkata, jambatan tersebut bukan sekadar infrastruktur fizikal, tetapi pemacu penting kepada pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan kesejahteraan rakyat.

“Selepas prapelancaran hari ini, jambatan ini sudah boleh digunakan.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunaikan janji agar kemudahan ini dapat dimanfaatkan sebelum Krismas,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan turut memuji pelaksanaan projek yang siap hampir sebulan lebih awal, menyifatkannya kejayaan penting bagi Sarawak.

Jambatan baharu ini dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Sebauh, membuka peluang perdagangan, memudahkan aktiviti perniagaan serta meningkatkan keselamatan dan kecekapan perjalanan penduduk.

Kemudahan itu juga bakal menggantikan perkhidmatan feri sedia ada, sekali gus menjimatkan masa perjalanan harian ke pekan Sebauh dan kawasan sekitarnya.

Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Kerajaan Sarawak memperkukuh infrastruktur luar bandar agar kemudahan asas seperti jalan raya dan jambatan dapat dinikmati secara inklusif oleh semua rakyat.